Wednesday, March 23, 2011

Memulakan Perniagaan Internet 6


HARI 6: Laman web  - Memiliki laman web sendiri

Cara yang lebih profesional menjalankan perniagaan di Internet adalah dengan memiliki laman web sendiri. Memiliki laman web sendiri adalah langkah utama dalam menjalankan perniagaan Internet.

Tak kira apa sahaja yang anda niagakan, sama ada produk, perkhidmatan atau informasi, laman web merupakan "kedai" anda di Internet. Ketika ini, untuk memiliki laman web, kosnya adalah amat rendah.

Seperti sekiranya anda mempunyai kedai di sesuatu kawasan perumahan, anda perlu membayar sewa bulanan untuk mengendalikan kedai tersebut. Di Internet juga, anda perlu membayar 'sewa'. Sewa menjalankan perniagaan di Internet dengan laman web anda sendiri adalah agak murah, iaitu dalam lingkungan RM100-RM200 setahun sahaja yang dibayar kepada syarikat Web Hosting. Ya, setahun... bukan sebulan!

Dan lebih menariknya, kedai anda bukan sahaja buka untuk sesuatu kawasan perumahan sahaja- tetapi ianya dibuka dan boleh mendapat pelanggan dari serata dunia!

Berikut adalah sedikit antara contoh laman web yang diusahakan oleh usahawan Internet tempatan:

apamwarnawarni.blogspot.commenjual kuih dan kek sekitar lembah kelang.
www.halalgelatine.com - menjual gelatin halal ke seluruh dunia!
www.nazira.biz - menjual tudung kepada pelanggan Malaysia dan Asia Tenggara!
cupcake-kakengku.blogspot.com - menjual kek cawan kepada pelanggan-pelanggan Malaysia!

Terdapat dua pilihan untuk memiliki laman web anda sendiri:
  1. Belajar membina laman web sendiri (DIY)
  2. Upah orang lain membinakan laman web
1. Belajar membina laman web sendiri
Bagi yang berminat, terdapat kelas-kelas belajar membina laman web dijalankan. Membina laman web sendiri tidak lagi susah seperti 10 tahun lalu, oleh kerana, kini terdapat perisian/software yang memudahkan kita membina laman web.

Dalam kata lain, sekiranya anda pandai menggunakan perisian seperti Microsoft Word, anda sudah boleh membina laman web asas! Untuk membina laman web, perisian seperti NVU, Dreamweaver atau Frontpage boleh digunakan.

2. Upah orang lain membinakan laman web
Tidak semestinya anda membina laman web anda sendiri. Anda boleh juga mengupah orang membina laman web untuk anda. Seperti memiliki kedai, bukan anda yang bertukang untuk membina atau 'renovate' kedai tersebut- tetapi anda mengupah orang melakukan kerja-kerja tersebut.

Sama seperti memulakan perniagaan Internet- tidak semestinya anda membina laman web (kedai) anda sendiri. Anda boleh mengupah sahaja orang lain yang lebih mahir membinanya untuk anda. Untuk membina laman web asas juga tidak memakan belanja yang tinggi- dalam lingkungan RM200-RM300 sahaja, anda boleh memiliki laman anda sendiri.

Anda kini telah mendapat idea apa yang boleh diniagakan di Internet, sama ada produk, perkhidmatan atau informasi, dan juga platform untuk berurusan di Internet iaitu melalui blog, facebook atau laman sendiri.

Tip:
Tak kira sama ada anda membina laman web anda sendiri atau mengupah orang lain membina untuk anda, ianya amat penting untuk anda tahu apakah ciri-ciri laman web yang boleh mengubahkan pelawat menjadi pelanggan.
Isi kandungan sesuatu laman web perlu boleh mengubahkan pelawat menjadi pelanggan. Gabungan teknik penulisan jualan, psikologi perniagaan dan perkataan-perkataan yang boleh menjual akan menggandakan keuntungan sesuatu laman web perniagaan Internet.

Sila ke http://cupcake-kakengku.blogspot.com/ untuk hari 7

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...